ARKIB : 09/07/2001
Oleh: AHMAD SYAHIR KASSIM
PULAU Pinang yang kini buat
pertama kalinya menerajui Liga Perdana Satu tidak boleh mendabik dada atau
tersenyum puas kerana saingan masih terbuka dan pelbagai rintangan perlu
dihadapi sebelum boleh dimahkotakan sebagai juara liga.
Impian skuad Pulau Mutiara
untuk mengecapi sekurang-kurangnya satu piala musim ini akan menjadi kenyataan
sekiranya para pemain dapat mengekalkan tahap kualiti permainan yang tinggi
selain tidak alpa di sepanjang 90 minit perlawanan.
Bagaimanapun kejayaan setiap
pasukan adalah ditentukan dengan kebijaksanaan barisan serangan membolosi
gawang lawan, barulah kemenangan akan dapat dicapai.
Selain daripada itu para pemain
seharusnya tidak merasa tertekan berada di puncak liga kerana sikap itu akan
mengganggu konsentrasi dan membunuh semangat pemain sekali gus akan
membantutkan usaha membawa pulang piala ke Pulau Mutiara.
``Saya selalu menasihatkan para
pemain setiap kali turun ke padang bulatkan tekad dan azam untuk mencapai
kemenangan, jangan terlalu memikirkan fasal piala, apabila menang dalam setiap
perlawanan, barulah kejayaan dapat dicapai, kata Irfan ketika dihubungi petang
ini.
Irfan yang enggan mengulas
lanjut mengenai impian membawa pulang satu piala berkata: ``Saya tak mahu
cerita fasal piala, kerana kedudukan Pulau Pinang masih belum selamat, mata
kita dengan Terengganu sama iaitu 28, cuma dipisahkan dengan jaringan sahaja.
``Pasukan di bawah sentiasa
mengintai peluang untuk memintas, jadi baki sebanyak sembilan perlawanan ini
perlu dimanfaatkan sebaik mungkin iaitu mencapai kemenangan, katanya.
Pulau Pinang yang mempamerkan
aksi hambar 20 minit pertama perlawanan mengubah rentak dengan meratah Kuala
Lumpur 5-0 dalam perlawanan di Stadium Batu Kawan, malam semalam.
Gol-gol skuad Pulau Mutiara
dijaringkan oleh Mohd Fareed Shah Hassan, Moey Kok Hong, Mohd Aiman Wong, R
Suresh Kumar dan S Sutesh.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0709&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bhNUmsSj
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan